Disampaikan oleh Ustazah Arpah binti Abdul Wahab…(bekas pensyarah di UTM Skudai, Johor dalam bidang Tamadun Islam) sekarang pendakwah, penceramah bebas…di Kem Bina Taqwa bertempat di E.D.I Training Centre, Durian Tunggal, Melaka.
Ulasan dibuat oleh penulis berdasarkan pemahaman penulis. Maka dengan itu, haraplah sangat dapat dibetulkan apa yang salah jika perlu dibetul agar maklumat yang benar dapat sama-sama kita kecapi…
Muqaddimah (Awalan)
Perlu memahami apakah keadaan kota Makkah itu pada zaman era Jahiliyyah: kebodohan, kezaliman, yang lemah ditindas, wanita dinafsuserakahkan, anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup tanpa diketahui apa salahnya kerana dianggap akan memberi malu pabila dewasa kelak, menyamun, merompak, membunuh, berzina, bertukar isteri, wanita bagai harta yang boleh dipusakai…dan pelbagai lagi yang tidak logik dek aqal yang waras sebagai insan kejadian istimewa dan tidak muat ditulis di sini juga tak sempat nak difikirkan kerana hebat betul kemaksiatan pada era Jahiliyyah itu.
Maka dalam keadaan orang Makkah pada itu yang telah lama bergelumang hidup dalam kehinaan, sebati dalam diri dan darah daging mereka sejak nenek moyang lagi berketurunan sudah, tiba-tiba datang satu ajaran yang sama sekali telah ‘bercanggah’ dengan amalan mereka selama hidup dalam Jahiliyyah…ajaran itu adalah yang menyelamatkan, mengamankan, iaitu ISLAM…
Islam ini dibawa Muhammad yang tak pernah pun pergi sekolah, tak pernah ke perpustakaan, universiti, ikut kuliah, tiada internet (sesuai dengan masa peredaran zaman pada zaman itu. Kita di masa perlu pada teknologi kemudahan internet untuk capai hasrat Islam sebenar, jangan salah anggap tulisan penulis) untuk belajar menulis dan membaca atau pandai berhujah dan bersyair tetapi beliau datang dengan satu sumber yang sahih lagi agung (universal attractor) iaitu kalimah Lailaha illallah…dengan sebab ini beliau telah didakwa pandai berkata-kata sihir.
Maka telah ramailah yang memeluk agama Islam bermula dengan Khadijah binti Khuwailid, Ali bin Abi Talib, Abu Bakar As Siddiq dan ramai lagi…maka apakah yang telah Muhammad ini lakukan pada orang Arab Makkah ini? Apakah Muhammad itu ada ilmu jampi-jampi pada mereka yang telah menganut Islam ini? Atau ada sebab-sebab lain?
Mari perhatikan…!
Hidayah Pertama
(1) Cinta Kebenaran (Hak, Haq), Benci Kesalahan (Kebatilan, Bathil)
Rasulullah Muhammad ini telah menanamkan dalam hati sahabat-sahabat baginda dengan sifat cintakan kebenaran yang membawa kepada kebaikan, sukakan amalan soleh, utamakan kesenangan bersama serta menyerapkan rasa benci, tidak menyukai, menghindari, rasa jijik buat perkara-perkara yang tidak menguntungkan diri dan menyusahkan orang lain. Bencikan kesalahan yang memang nyata salah. Iaitu menyembah berhala yang tidak bergerak malah tidak mampu berkata-kata dan ia juga dibuat oleh tangan si penyembah berhala semata. Rasulullah mengajar, memberitahu sahabat agar mencintai senantiasa akan kebenaran yang haq tanpa sesat iaitu hanya menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah dalam ajaran Islam.
Maka pabila kita membicarakan cinta, apakah yang kita faham dengan cinta ini?
Pastinya kita di pelbagai peringkat umur punya fahaman tersendiri mengenai istilah cinta ini. Cinta ini dirasakan dari kecil hinggalah ke peringkat dewasa umur kita, malah di saat kita hendak mati pun akan kita merasai erti cinta ini. Maka sedari kecil kita telah merasakan apa itu cinta hinggalah sekarang hatta ketika sedang membaca artikel ini sekalipun kita juga sebenarnya sedang bercinta. Percaya atau tidak kita merasa cinta itu walau kita mentafsirkan kita tidak mendapat kasih sayang yang kurang. Maka perkataan kurang tadi bermakna kita telah merasa nikmat cinta itu walau sedikit cuma.
Kerana yang sedikit itu kita perlu tambah dengan sedikit lagi usaha agar benar-benar merasai nikmat hakiki cinta itu sendiri.
Maka penulis di sini mengupas semula apa yang disampaikan oleh penceramah kita tadi seperti nama di atas iaitu Ustazah Arpah, bahawa kita mesti mengamalkan erti cinta kepada rasa kasih pada mendekati sang pencipta kita, iaitu kebenaran yang bakal menguntungkan kita kelak walau jika tidak sekarang maka ia pasti akan datang juga kebenaran itu, rindu pada kebaikan bagai merasa rindu pada insan yang dikasihi, yang dinanti-nanti kedatangannya, walau dah berjam-jam menunggu dirumah, atau menunggu kepulangan suami dan anak-anak dari perantauan yang jauh entah di mana, atau mengharapkan datangnya bekalan makanan yang telah lama tak makan nasi…atau juga rindu untuk menanti merasa nikmat lagi dalam solat seperti sudah solat Subuh merasa tak cukup lagi dirasakan bahagia pada Subuh ingin pula dalam waktu Dzohor…kemudian waktu ‘Asar…seterusnya solat Maghrib dan ‘Isyak…ditambah pula dengan solat sunnah Qabliah & Ba’diah (sebelum & selepas) kerana merasa kurang dalam solat fardhu tadi.
Kebenaran dirindui, disukai, dikasihi…
Pabila berpisah dengan kebenaran, berasa kosong bagai hilang tujuan ke mana selepas ini ingin pergi?
Ada apa dengan cinta? Ada apa-apa kesan? Maka fikirkanlah!
Asas kebenaran adalah tauhid, mengEsakan Allah yang sedia satu tiada yang lain perlu dipuja dan disembah melainkan Dia yang selayaknNya.
Lawan tauhid itu ialah mulhid (bahasa sekarang atheis, tak beragama atau tak bertuhan), syirik (menduakan, menyekutukan Allah) juga kafir, kufur (ingkar perintah).
Syirik kepada Allah itu sangat besar dosanya kerana ia boleh terjadi dalam keadaan tidak sedar. Na’uzu billah. Moga dihindarkan.
Rasulullah itu tadi adalah sumber tauhid yang jelas (mubin). Maka rujuklah baginda. Bagaimana? Dengan menyemak, menyingkap kembali seerah Baginda yang telah lama kita tidak baca dan aplikasikan dalam segala gerak kerja kita. Jangan hanya mengenal personaliti di televisyen hingga lupa personaliti agung yang sememangnya dunya sekarang kurang paparkan iaitu Muhammad. Kita kadang-kadang minat selebriti realiti tv hingga tidak tahu sebab apa minat dengan selebriti. Ingatlah kejadian buruk dibumi ini sebenarnya berlaku kerana manusia lebih kenal akan selebriti atau penyanyi dari mengenali Nabi Muhammad. Ajaran Nabi itu pasti syurga jika diamalkan. Tapi jika taksub dengan penyanyi maka tunggulah azab Allah. Nau’zubillahimindzalik ia antara sebab dicepatkan bala dan qiamat. (Moga yang menulis ini paling terkesan, astaghfirullah)
Sesungguhnya, bencilah apa yang dilarang oleh Allah melalui RasulNya, Muhammad dan turutilah suruhan Allah melalui RasulNya juga. Tiada kompromi dalam mentaati Allah.
Hakikat kita mengEsakan Allah itu bukanlah semata mengucapkan, dan melafazkan kalimah Lailaha illallah sahaja bahkan ia sebenarnya lebih dari itu, iaitu dengan pembuktian dengan hati dan anggota badan.
Sudahkah kita membaca al Qur’an pada hari ini? Pagi ini? Tengahari ini bagaimana? Petang ini? Malam ini selepas makan tadi? Selepas solat tadi? Ada baca? Sebelum tidur? Faham tak?
Jika sudah baca, tanya pada diri kita adakah kita telah faham dan mengamalkan apa yang kita sepatutnya lakukan dari intipati al Qur’an itu sendiri? Atau hanya sekadar baca kemudian diletakkan semula kitab tadi ke tempat asal di mana kita mengambilnya sebelum baca tadi dan terus beredar tanpa apa-apa perancangan yang perlu kita rangka dalam penghayatan mesej atau maklumat yang terkandung dalam al Qur’an itu tadi?
Maka apakah taqwa kita telah terbina dan dibina setelah mengetahui kebenaran yang terpancar dari al Qur’an?
Tepuk dada tanyalah taqwa!
Taqwa itu apa?
Proses memperkukuhkan iman, dan yang lebih tepat lagi adalah khauf, iaitu rasa takut dan beramal dengan amalan yang menunjukkan kita takut atau reaksi takut jika kita melanggar peraturan Allah, tidak berbuat apa yang disuruh Allah, takut dihina dihadapan Allah kerana dibumi menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi diri sendiri berbuat maksiat besar di belakang tabir. (Surah as Saff 61: 2)
Tinggalkan segala yang dilarang, yang dimarahi, yang dibenci Allah, SELURUHNYA dan buatlah apa yang disukai, dirindui, disayangi oleh Allah, SELURUHNYA.
Tauhid itu ada batas, maka jangan sampai kita syirik pada ALLAH. Segala yang HALAL itu WAJIB DIPISAHKAN DENGAN yang HARAM kerana telah jelas. Segala yang ragu-ragu dan was-was itu perlu dijauhkan kerana kita tak ada ilmu lagi untuk perkara yang sebegini. Perlu pada ilmu. Tanyalah pada yang mengetahui.
Taqwa itu perlu mendasari banyak perkara yang asas hinggalah pada perkara yang seni-seni. Setiap perkataan perlu dijaga bahasanya agar si pendengar tidak terasa hati, jangan diguna mulut untuk mengumpat berkata yang tidak baik, nista semata. Telinga itu jangan hanya mendengar kepada yang seronok, ringan untuk minda tapi perlu perkara maslahat ummah sejagat. Tangan atau kuasa pula wajib amanah kerana ia adalah yang paling berat untuk dijayakan serta banyak lagi perkara.
Mudah kata, perlu ‘adil dalam semua perkara walau hakikatnya kita manusia selalu pilih kasih tidak ‘adil. Namun itulah Allah itu wajib didekati sifat Maha ‘AdilNya supaya kita mendekati perbuatan ‘adil tadi. (taqarrub ila Allah)
Termasuklah perbuatan hati, iaitu lintasan hati yang selalunya susah dijaga hingga terkadang berasa sangsi terhadap perkara yang telah nyata benarnya serta sahih lagi terbukti tetapi hati terkadang menafikan tanpa sedar. Ada juga yang pernah menafikan kekuasaan Allah yang sudah jelas terpapar namun ia hanya sekadar dalam hati tetapi inilah yang dinamakan syirik iaitu syirik khafi atau syirik tersembunyi tanpa sedar berlaku dalam kehidupan seharian.
Janganlah jadi seperti golongan yang dilaknati Allah sehingga ada yang berkata: “Kami dengar dan kami ingkar”.
Hidayah Kedua
(2) Rasa ‘Izzah dengan ISLAM (Bangga dengan Islam)
Bangga, besar diri (bukan bongkak dan takabbur), mulia dan seronok gembira pabila lakukan amalan Islam semata kerana Allah.
Perasaan ini telah Rasulullah Muhammad itu tanamkan terlebih dahulu pada diri sahabat baginda di waktu awal kebangkitan Islam dikala waktu orang tak tahu lagi apa itu Islam. Baginda juga mahu kita di masa kini zaman serba canggih ini bangga dan seronok untuk melakukan kebaikan yang di saat ini agak sukar untuk kita laksanakan kerana telah ramai yang salah tafsir erti baik yang sebenar. Sesuatu yang baik tak boleh bercampur dengan yang buruk walau sebesar zarah sekalipun kerana racun setitik rosak susu sebelanga. Maka tak dapat nak minum susu sama-sama. Nikmat susu itu. Sedapnya tapi tak boleh diminum lagi. Kan sudah rugi.
Ada yang beranggapan nak buat baik jika terdapat sedikit unsur buruk tidak mengapa hinggalah matlamat telah menghalalkan cara pelaksanaan. Maka terjadilah konsert ‘amal (sudah lama bertapak), Akademi Fantasia, Malaysian Idol, American Idol, dan macam-macam lagi. Semua yang ditulis tadi sebenarnya pada idea awalnya adalah untuk mencari bakat kepimpinan yang bakal menerajui negara pada masa akan datang namun ada yang mencadangkan agar daya tarikannya diadakan hiburan, nyanyian, tarian, senggol-senggolan, cubit-cubitan, tampar-tamparan, peluk-pelukan di khalayak ramai yang sedia menerima apa sahaja dari peserta diminati dalam rancangan berkenaan hingga lupa diri telah melanggar batas atau had dalam pergaulan dan juga peminat telah menjadikan artis atau bintang tadi sebagai idola (sembahan ertinya dari segi bahasa) dan ikutan. Maka matlamat awal telah tersasar kerana hiburan yang melampau telah diselitkan secara tak terkawal dan keuntungan yang kelihatan agak memberangsangkan dan lebih menggalakkan duit yang masuk ke dalam poket telah terkeluar hingga tak cukup poket. Maka ada juga sembahannya telah berubah kepada mengejar kemewahan yang sementara tanpa menghiraukan mudarat yang telah dilakukan dalam acara tadi. Maka lebih dikasihi si polan bin atau binti si polan ini daripada mengasihi Rasulullah kerana ada yang telah lupa sujud menyembah Allah dan sanggup menjauhi keluarga sendiri untuk bersama di khalayak ramai bersama kawan-kawan untuk hadir dalam majlis yang gilang-gemilang, final Akademi Fantasia. Penulis tidaklah membangkang sepenuhnya acara ini tapi ianya perlu dikaji semula dari segi pelaksanaan dan kesannya pada masa jangka panjang, perlu berfikir ke hadapan, sekali-sekali perlu pandang ke belakang melihat siapa yang ada agar sedar kita di mana. Seharusnya di samping kritikan membina dari suara pitching, sesuai atau sesuai diri peserta dengan lagu yang dinyanyikan, perlu juga dinasihatkan agar menutup aurat samada lelaki atau wanita, juga disiplin berpakaian, bercakap semasa latihan juga sewaktu mempersembahkan lagu. Aspek solat atau pengamalan agama masing-masing juga perlu dijaga terutamanya yang beragama Islam dari aspek solatnya, pergaulan, tempat tidur asing, makan minumnya dan aspek masa depan kerjaya. Semua itu dari segi peserta yang menyertai acara tersebut.
Kita lihat impak kepada penonton yang berjuta ramainya di kaca televisyen, pendengar di radio, para hadirin secara langsung acara. Apakah yang kita hendak tonjolkan pada mereka? Apa yang boleh mereka ini pelajari daripada apa yang dilaksanakan dari acara di atas? Adakah hiburan semata? Keseronokan yang hanya sementara dirasa, kemudian balik tidur tanpa sujud pada tuhan masing-masing. Memang telah ramai beranggapan soal kerohanian ini telah menjadi tanggungjawab peribadi. Maka ia sangat sensitif dipersoalkan di khalayak ramai. Tapi ia beri kesan pada anak muda-mudi bangsa kita, umat Islam itu sendiri yang sebahagiannya telah diberi nama Ahmad tetapi hidup bagai Kasanova, Albert, John atau seperti yang bukan Islam walau dikenali namanya Islam.
Zaman sahabat ketika dahulu berebut-rebut nak memberi salam, berkejar untuk rebut saf barisan pertama dalam solat berjamaah, berebut buat kebaikan untuk semua tanpa abai tanggungjawab pada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, etnik, negara, dan agama Islam. Mereka juga berhibur di kalangan mereka tetapi tidak melampaui batas yang ditetapkan. Sering bertanya iman, adakah ada bertambah dari iman dari hari sebelumnya kerana bimbang si rakan ini sudah jauh dari Allah? Soal iman bukanlah hal individu sebaliknya ia soal masa depan negara.
Jika hal pemilikan harta pusaka, isu pencemaran alam sekitar, isu pendidikan, rasuah, kewangan, permit, ajaran sesat, dan bermacam lagi dibincangkan dalam meja rundingan kedai kopi atau meja Dewan Rakyat, Dewan Negara juga di Parlimen di negara tercinta kita ini, Malaysia, apakah tidak boleh kita bincangkan bersama untuk kita sama-sama bertindak menyelesaikan permasalahan akhlak dan moral di kalangan ‘orang kita’ yang semakin tenat. Bincangkan dahulu kesannya. Jika nak makan dan minum untuk kesihatan masa tua kita jaga dalam keluarga, inikan pula masa depan anak bangsa yang juga keluarga kita takkan kita tolak ke tepi hingga macam tak wujud istilah kemandirian anak-anak itu tadi. Anak muda-mudi sekarang susah benar untuk kita dengar dari mulut ayat al Qur’an yang merdu lunak bila dialunkan. Memang Mawi itu merdu suaranya pabila dia berzanji, bernasyid, tapi di Akademi Fantasia dia tidak buat semua itu di khalayak ramai (alhamdulillah dia berjaya menggembirakan hati ayah dan bondanya, dia sebenarnya tidak tahu bahawa dia akan jadi sebegitu popular kerana gara-gara keuntungan semata). Mungkin tidak relevan. Tapi adakah di kalangan kita terfikir untuk menganjurkan pertandingan azan seperti AF pada khalayak ramai sedangkan yang datang melihat ramainya majoriti adalah umat Islam sendiri? Menderma dengan murah hati pun melalui sms (Short Message System) adalah Islam. Menderma hingga mencecah puluhan juta walhal duit itu boleh buat makan perut sendiri, atau didermakan, dinafkahkan pada yang lebih haq atau pada anak-anak yatim yang tidak berpendidikan, pelaburan ekonomi kendiri keluarga (perniagaan kecil-kecilan). Kenapakah isu yang sebegini besar tidak dikaji seperti isu lain. Apakah ‘keuntungan segera’ lebih baik dari ‘mudarat berpanjangan’. Muda-mudi dan golongan dewasa pada zaman mutakhir ini tidak lagi mahu atau sudah tidak bangga lagi untuk merasa diri sebagai seorang yang beragama Islam. Lebih bangga menggunakan nama fetty walau namanya Fatimah az Zahra, lebih suka dipanggil Zack walau namanya Zakaria, lebih gemar diteriak dengan gelaran Burn walau nama sebenar Abu Bakar. Apa? Nak kena bakar awal ke? Tidak lagi ‘izzah lagi dengan Islam. Apakah semacam ini patut kita abaikan? Nampaknya penulis terlebih di sini.
Jika dahulu, sebelum merdeka, golongan ibu ayah bercucuk tanam untuk masa depan anak mereka, bangsa mereka yang akan hidup selepas mereka mati tetapi sekarang ‘lepas diri sendiri sudahlah, orang yang kemudian lantaklah kau’…
Begitulah seriusnya atau runcingnya masalah ini pada kaca mata penulis.
Buatlah ‘amal kerana Allah.
Jangan hanya kerana cadangan yang macam sedap didengar telinga itu menghancurkan kehidupan sepanjang hayat di bumi dan di akhirat.
Sedikit kisah dari isteri Rasulullah, Khadijah, orang pertama yang berasa ‘izzah dan bangga dengan Islam. Dia berasa senang, mudah, gembira, seronok, tidak canggung, berasa kuat dan mulia pabila dipanggil untuk sama-sama mengembangkan Islam dan menegakkanNya di muka bumi ini.
Dia sanggup pajak gadaikan kejelitaan, jelitawannya, hartawannya, kebangsawanannya, kemewahannya semata hanya kerana Allah, bukan hanya kerana Rasulullah suruh tapi juga redha Allah lebih utama dari segalanya. Dia tak sayang kesenangan yang sementara untuk berada dalam kesusahan menegakkan Islam bagi mendapatkan kebahagiaan yang abadi.
Dalam hidup ini ada dua, 2 perahu sahaja iaitu perahu Islam dan perahu yang bukan Islam. Maka jika mahu dengan Islam, masukkanlah kedua-dua kaki ke dalam perahu. Jangan hanya sebelah sahaja. Takut jatuh dalam air dan terus lemas. Perahu kebenaran atau perahu kebatilan? Pilihlah!
Abu Bakar as Siddiq pula, adalah salah seorang sahabat baik Rasulullah yang mula-mula memeluk Islam. Beliau telah berkawan dengan Muhammad sejak sebelum Muhammad diangkat menjadi Rasul Allah lagi. Maka pada suatu hari bertanya Abu Bakar pada Muhammad: “Wahai sahabat! Ku lihat ada sesuatu yang besar dan berat terpapar pada wajahmu. Beritahulah aku agar aku dapat membantumu”. Ketika telah Muhammad itu menjadi Rasul. Maka jawab baginda: “Aku bimbang engkau tidak percaya”. Abu Bakar membalas: “Aku akan membenarkannya”. Maka Muhammad pun bercerita. Terus sahaja Abu Bakar berkata: “Aku membenarkan dan mengimaninya”. Dia bertanya pada Rasul: “apakah yang perlu aku lakukan setelah mengetahui kebenaran ini?”. Rasul menjawab: “berasalah ‘izzah (bangga) dengan Islam!”.
Maka bergegas Abu Bakar mahu umumkan kebenaran yang baru diterimanya tadi. Rasul menahannya kerana bimbang keselamatannya terancam. Maka dia berkata pada Muhammad sampai bila mahu merahsiakan. Rasul Muhammad itu benarkan dan Abu Bakar beritahu pada umum namun dia dibelasah. Rupanya susah nak buat baik ini. Perlu strategi rupanya. Itulah sedikit pengajaran dari kisah Abu Bakar.
Tapi rasa bangga Abu Bakar tinggi melangit, tak sabar-sabar nak perdengarkan kalimah Lailaha illallah pada telinga kawan yang baru dan belum mengenal erti kebenaran. Sebaliknya jika dibandingkan kita pada hari ini, sering tunduk dan tarik diri awal-awal untuk dipanggil buat kerja kebaikan mengajar al Qur’an (samada malas, tiada ilmu, takut dikata riyak, atau tiada ganjaran yang nyata), tampil memberi ceramah motivasi, ceramah Islam, isu semasa, atau buat kerja amal masyarakat. Semua ini golongan muda-mudi zaman ini agak terkebelakang jauh dari pandangan mata. Suka menyerah kalah pada keadaan bagai keadaan yang menentukan segalanya sedangkan diri sendiri punya kudrat iradat kurniaan tuhan yang tak ternilai harganya tapi tak diguna. Kufur nikmat. Salah guna nikmat. Nikmat muda sudah dizalimi, nikmat kelapangan telah dicabuli, nikmat kekayaan, dibazirkan, nikmat hidup, diletakkan diri dalam keadaan bangkai bernyawa. Busuk lagi hina. Mereka lebih kerap dilihat dalam video yang tidak sepatutnya mereka ada di dalamnya dengan berpakaian di atas sahaja tanpa pakaian di bawah, hingga terlihat berlaga mulut di tepi tasik tanpa seurat benang, mencucuk jarum yang punyai racun ke dalam badan, dan buang sesuatu yang dianggap sampah walhal yang dibuang itu bernyawa dari badannya sendiri. Mana asy Syafie, mana al Ghazali? Mana Khadijah, diganti Khaty? Mana Abu Bakar, diganti Burn? Apakah sistem kita yang silap atau kita sebagai pelaksana yang silap? Sistem itu tidak bergerak tetapi kita yang menggerakkannya!
Bina taqwa bukan hanya sehari dua tetapi ia perlu dijana, dicanaikan, diuli, diasah untuk menjadi kebiasaan seharian malah seumur hidup ini adalah perlu sentiasa dalam keadaan taqwa.
LangitNya kita junjung, bumiNya kita pijak, airNya kita minum, nasiNya kita telan, kunyah, suap dalam mulut. Maka semua ini siapa yang beri? Nikmat yang lima itu siapa yang kurnia?
Jawablah sendiri!
Pabila diberi nikmat, ucaplah alhamdulillah (segala puji hanya bagi ALLAH), nikmat bukan hanya yang senang dipanggil nikmat tetapi kesusahan itu juga sebenarnya adalah nikmat kerana dengan sebab adanya susah baru akan kenal erti senang. Adanya panas, baru kita mengenal rasa sejuk. Adanya lapar, baru kita tahu rasa kenyang. Ada lelaki, adanya wanita. Berpasangan nikmat tuhan itu. Subhanallah (Maha Suci Allah).
Hidayah Ketiga
(3) Kita Adalah Guru, Cikgu, Pensyarah, Ustaz, Ustazah, Professor, Doktor Falsafah, Doktor Persuratan dan yang sewaktu dengannya
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menyatakan pada golongan sahabat supaya berasakan diri masing-masing adalah seorang guru, cikgu, pensyarah, ustaz, ustazah, professor, doktor falsafah, doktor persuratan dan lain-lain lagi.
Mereka yang tidak tahu akan kebenaran diberitahu agar memberitahu, menceritakan, membenarkan, menyalurkan, menyampaikan kebenaran, ketauhidan pada manusia lainnya bukan hanya murid di sekolah, bukan hanya peljar di universiti, pekerja-pekerja di firma-firma kerajaan malah lebih daripada itu, pada mereka yang tidak tahu ketauhidan tuhan yang satu. Mereka ini hakikatnya inginkan sesuatu yang mengisi ruang kosong di dalam hati tetapi golongan yang tahu tidak menyampaikan maka mereka ini terus sahaja dalam kesesatan.
Sesnugguhnya tugas menyampaikan kebenaran telah Allah firmankan dalam Surah al ‘Asr. Sampaikan kebenaran dan sampaikan kebenaran itu dengan kesabaran bukan dengan cara yang rugi. Maka sampaikan pada si mulhid (atheis tidak beragama), pada kafir (ingkar perintah Allah terang-terangan), pada si pakcik yang di dalam kampung orang asli misalnya atau pada sesiapa sahaja yang tidak tahu akan Islam.
Jika telah dilaksanakan tugas sebagai cikgu, pensyarah, guru, ustaz, ustazah, professor atau dengan apa jua kedudukan sekalipun maka tidak ada alasan untuk kita bertengkar, berbantah di hadapan Allah di hari akhirat kelak. Perkara ini Allah sebut dalam al Qur’an.
Kita yang sedia faham akan kebenaran mesti menerangkan kerana mereka yang tidak faham ini sebenarnya tidak terang dan tidak jelas. Kitalah penerang jalan yang gelap.
‘Cikgu’ ini tidak semestinya menerangkan, mengajar hanya di tempat formal malah di tempat kunjungan awam seperti di dalam rumah sendiri, perhentian bas, kedai makan, bank-bank dengan cara yang terbaik sekali.
Pada tiap-tiap jalan di dunia ini pasti ada manusia yang inginkan kebenaran (haq, seperti dalam Surah al ‘Asr) walu mereka ini tidak bercakap dengan mulutnya tetapi hati mereka PASTI...MAHU ALLAH...sekalipun dia kafir atau mulhid.
JADILAH ‘CIKGU’ YANG INI.
Tapi jangan mengharap orang diberitahu itu akan menerima serta-merta kerana jika dia tidak menerima pada awalnya mungkin dia mengalami beberapa kejutan maklumat atau dia menganggap kebenaran sesuatu yang cuba menerjah masuk dalam kehidupan jahiliyyahnya sebelum ini. (jangkakan masa lengah, setiap perkara ada tindakbalas respon balikan, prinsip pasangan benda makhluk kejadian di semesta ini begitulah ia bertindak)
Maka kita punya usaha, Allah punya hidayah.
Tapi wajib usaha, jangan tidak usaha. Jika tidak hari si pendengar itu berubah menjadi golongan yang diredhai Allah ( pastikan kita berada pada jalan yang ‘lurus’ dahulu) mungkin esok dia berubah, mungkin 2 minggu depan, 2 tahun lagi, atau 20 tahun, atau paling lewat pun di akhirat nanti kita terjumpa dia yang menolak pada awalnya kini di akhirat dia yang paling mulia.
Doa untuk semua baik.
Rujukan tambahan Surah at Taubah: ayat 100.
Persoalan:
Mengapakah kita tak dapat hidayah walau telah lama baca al Qur’an, amal sunnah?
>tanyakan pada diri apakah sudah kita cuba fahamkan isi bacaan kita itu? (walau kita hakikatnya tidak tahu bahasa Arab).
>tanyakan pada diri apakah kita hanya membaca tanpa menghayati? Adakah jika dah hayati, semua kita lakukan kerana Allah.
>mata, hati, tangan, mulut, hidung, telinga, telah dekat dengan zina maka adakah akan dapat hidayah dari Allah?
Huraian seterusnya boleh rujuk pada yang lebih mengetahui.
Tambahan di masa kini Malaysia yang dikatakan teraju utama OIC tapi hakikatnya kita sibuk dengan hiburan dan kemewahan tanpa ingat lagi tugas kita bahawa Palestin, al Aqsa yang patut kita ambil semula diabaikan. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa dajal telah ciptakan syurga pada mata kita yang pada hakikatnya ia adalah neraka. Janganlah dekati neraka. Jangan jadi ahli neraka. Na’uzubillah.
Penulis
Mohammad Fauzan bin Md Ibrahim (ejanfauzan2003@yahoo.com)
Fakulti Kejuruteraan Pembuatan
Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM)
Kem BINA TAQWA, E.D.I. Training Centre, Durian Tunggal Melaka.
14082005