Sabtu, Jun 30, 2007

PENEMUAN SAINTIFIK TENTANG BAHAYA BABI


Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi.” (Surah Al-Baqarah ayat 173) Dengan dalil ini jelaslah kepada kita bahawa daging babi dan produk-produknya diharamkan oleh Allah secara mutlak ke atas umat Islam. Setiap perkara yang diharamkan Allah pasti mempunyai sebab dan rahsianya.
---
Penyakit Dan Jangkitan Daripada Babi
---
Daniel S. Shapiro, M.D., Pengarah Clinical Microbiology Laboratories, Boston Medical Center, Massachusetts dan juga merupakan Penolong Profesor Perubatan di Pathology and Laboratory Medicine, Boston University School of Medicine, Massachusetts, merumuskan terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh di jangkiti dari babi.243 Di antaranya ialah:
---
• Anthrax
• Ascaris suum
• Botulism
• Brucella suis
• Cryptosporidiosis
• Entamoeba polecki
• Erysipelothrix shusiopathiae
• Flavobacterium group IIb-like bacteria
• Influenza
• Leptospirosis
• Pasteurella aerogenes
• Pasteurella multocida
• Pigbel
• Rabies
• Salmonella cholerae-suis
• Salmonellosis
• Sarcosporidiosis
• Scabies
• Streptococcus dysgalactiae (group L)
• Streptococcus milleri
• Streptococcus suis type 2 (group R)
• Swine vesicular disease
• Taenia solium
• Trichinella spiralis
• Yersinia enterocolitica
• Yersinia pseudotuberculosis
---
Kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A.), Murry J. Cohen (M.D.), Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C.S.), Ray Greek (M.D.), dan Stephen R. Kaufman (M.D.) mendapati antara penyakit-penyakit ini ada yang boleh membawa maut, sebagai contoh leptospirosis. Ia boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
---
Babi Dan Pandangan Tokoh-Tokoh Perubatan China
---
Orang-orang Cina banyak membuat pengamatan dan kajian tentang babi dan sesetengah pandangan mereka dibukukan untuk pengetahuan umum. Sebagai contoh dalam sebuah Jurnal Kesihatan Cina yang amat terkenal suatu ketika dahulu iaitu Yan Show Tan disebutkan, "Di saat kematian, perasaan takut akan memasuki hati babi dan nafasnya yang terakhir memasuki hempedunya. Semua daging adalah berkhasiat melainkan daging babi. Jangan makan dagingnya.”
----
Di zaman Dinasti Tang terdapat seorang tabib yang amat terkenal bernama Sun See Mao. Beliau hidup sampai ke umur 100 tahun dan mengarang sebuah buku yang bertajuk Sheh Shen Lu (Catatan-Catatan Kesihatan). Di antara isi-isinya ialah, “Daging babi merangsang penyakit-penyakit lama, menyebabkan kemandulan, penyakit sakit tulang dan asma.”
----
Di zaman Dinasti Ming pula, terdapat seorang tabib yang bernama Lee Shih Ch’en. Beliau amat dihormati dan mengarang 50 jilid buku-buku perubatan atau Materia Medica dan berhubung daging babi beliau berkata, “Ia boleh mendatangkan kesan berbahaya.”
----
Secara umumnya tokoh-tokoh China zaman dahulu melarang seseorang memakan daging babi disebabkan pelbagai kemudaratan yang boleh menimpa ke atas manusia yang memakannya.
----
Virus-Virus Baru Keluaran Babi
---
Jangkitan kuman virus influenza pada tahun 1918 telah membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia. Ada yang menganggarkan mangsa-mangsanya yang sebenarnya berjumlah 40 juta orang. Mengikut beberapa kajian, kuman virus yang menyebabkan epidemik ini datang dari babi-babi di Amerika. Ia menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia I dan tentera-tentera ini kemudiannya membawa dan menyebabkan jangkitan di negara-negara lain. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan, punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi.
---
Alix Fano, pengarang buku Lethal Laws – Animal Testing, Human Health and Environmental Policy, merangkap Pengarah Medical Research Modernisation Committee mengesahkan, kuman-kuman virus dari babi mampu berubah dan menjadi lebih berbahaya (mutations) dari masa ke semasa. Pada bulan Mac, 1997, ahli-ahli sains Britain melaporkan penemuan kuman berbahaya retroviruses PERVS dari babi. Virus ini membiak di dalam tabung uji yang mempunyai sel-sel buah pinggang manusia dan ia merebak melalui cecair yang ada pada tubuh manusia dan ini menyebabkan ia mudah menjangkiti orang lain.
---
Pada bulan November, 1997, Dr. Robin Weiss dari Chester Beatty Laboratory, London mengesahkan kewujudan virus PERV di dalam babi. Penemuan ini menyebabkan Kerajaan British mengharamkan kesemua aktiviti pembedahan pemindahan alat / organ dari babi kepada manusia. Pada bulan Ogos 1997, pakar-pakar sains dari Australia menemui satu lagi virus baru yang menjangkiti babi sebelum menyerang manusia. Ia amat berbahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui sebelum ini dan dikenali sebagai virus menangle dari kumpulan paramyxovirus.
---
Secara umumnya, sejak tahun 1997, ahli-ahli sains menemui beberapa kuman virus keluaran babi yang boleh menjangkiti manusia. Kuman-kuman ini belum pernah ditemui sebelum ini, antaranya ialah:
---
• Porcine Torovirus.
• Porcine Rotavirus (Variant 4F).
• PRRS (Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus).
• H3N2 Swine Flu Virus.
---
Babi Mengubah Virus Ke Tahap Berbahaya
----
Dalam Journal of Virology 1997 dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin. Penemuan mereka jelas menunjukkan pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya. Pakar-pakar sains menganggap babi sebagai mixing vessel atau ‘tempat pelbagai kuman bertakung sebelum diubah ke bentuk yang berbahaya.’ Mengikut kajian itu juga virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang boleh menjangkiti dan membunuh manusia, selepas melalui perubahan di dalam babi. Penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selesema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ini. Ia bermula dengan serangan Spanish flu pada tahun 1918, diikuti dengan Asian flu pada tahun 1957, Hong Kong flu 1968 dan Russian flu pada tahun 1977. Kajian-kajian oleh ahli-ahli sains menunjukkan kuman-kuman pembunuh ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat, terutamanya wabak pada tahun 1918.
---
Tambahan dari itu, BBC News Online bertarikh 29 Oktober, 1999 melaporkan virus babi menjadi punca berlakunya wabak yang paling teruk dalam sejarah dunia moden pada tahun 1918. Ahli-ahli sains juga mendapati wabak yang menyerang Hong Kong baru-baru ini juga berkemungkinan besar berpunca dari virus babi.
---
Mengikut Dr. Virginia Hinshaw, Dekan di Graduate School Universiti Wisconsin-Madison, virus sentiasa berubah kepada bentuk yang lain dan babi merupakan satu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada bentuk yang lain itu. Yang membimbangkan ialah, sistem pertahanan manusia tidak mampu menangkis serangan dari virus-virus ini.
---
Tambahan dari itu, terdapat virus dari keluarga HIV yang wujud di dalam babi. Virus ini di bawa oleh DNAnya dan ia tidak boleh dipisahkan. Profesor Robin Weiss, seorang pakar dalam bidang virologi dari Institut Kajian Kanser, London berkata, " Babi mempunyai banyak kuman virus. Salah satu masalah yang perlu kita hadapi ialah babi mempunyai kuman retrovirus yang boleh menjangkiti manusia. Ia tidak dapat dibuang dari babi kerana ia dibawa oleh benih DNAnya. Retrovirus ini adalah dari keluarga yang sama dengan kuman HIV."
---
Babi Dengan Masalah Yang Berterusan
---
Sejak dari zaman dahulu lagi tokoh-tokoh tabib China dari Dinasti Tang dan Ming mengingatkan manusia tentang bahaya daging babi. Kemudian pada abad kedua puluh, terutamanya di sekitar tahun 50an, dunia dikejutkan dengan cacing trichina dari babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh membunuhnya ketika itu. Di Amerika, amaran terpaksa dikeluarkan tentang bahaya memakan daging babi, sebagai contoh, amaran yang dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard dalam Washington Post bertarikh 31 Mei 1952. Pada hari ini, masalah trichinusis telah dapat diatasi namun timbul pula kuman-kuman baru seperti virus flu yang lebih berbahaya yang boleh menyebabkan wabak yang membunuh di seluruh dunia. Apabila Allah mengharamkan sesuatu, ia pastinya suatu yang keji dan memudaratkan.
---
Note: (Diterbitkan dalam Majalah i bagi bulan Ogos, 2004, terbitan Karangkraf)Nukilan,Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria) Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. danPenulis bagi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Kenal Diri Kenal Tuhan




Tidak patut ada rakyat Malaysia yang tidak kenal Perdana Menteri Malaysia. Tidak patut, pekerja tidak kenal majikannya. Tidak patut, anak yang dibesarkan ibu bapa tidak kenal ibu bapanya. Lagi tidak patut, manusia tidak mengenal Tuhan. Kebanyakan rakyat Malaysia tahu nama dan kenal rupa Perdana Menteri Malaysia. Tetapi, ramai yang tidak kenal sikap dan sifat beliau. Begitu juga ramai pekerja dapat menyebut nama majikan, tetapi tidak kenal sikap dan sifat majikan. Kebanyakan yang berumah tangga dapat menyebut nama suami atau isteri masing-masing. Tetapi, tidak ramai yang mengenali sikap dan sifat suami ataupun isteri. Walaupun ada antara mereka berkahwin lebih dari sepuluh tahun.


Bagaimana kita dapat mengenali sikap dan sifat individu? Ya, apabila wujudnya pergaulan dan komunikasi. Atau, apabila kita dapat melihat dan merasakan kesan daripada satu-satu tindakan yang dilakukan oleh individu. Selalunya, ibu lebih mengenali sikap dan perangai anaknya berbanding dengan bapa. Ini kerana, ibu mempunyai lebih banyak masa bergaul dan berkomunikasi dengan anak. Tetapi, kenyataan ini mungkin tidak tepat pada waktu sekarang. Ini kerana, ibu bapa tidak punya masa bergaul dan berkomunikasi dengan anak-anak. Akibatnya, ibu bapa dan anak-anak tidak mengenali sikap dan sifat masing-masing.


Kembali kepada persoalan pokok, adakah kita benar-benar mengenali Tuhan, pemilik alam? Atau sekadar tahu nama sahaja. Tuhan sudah lama ‘bergaul’ dan memperkenalkan dirinya kepada kita. Sejak kita dapat mendengar, melihat, merasa, menyentuh dan menghidu. Kerana apa yang kita dengar, lihat, rasa, sentuh dan hidu adalah tanda, iaitu bahasanya. Tuhan ‘bergaul’ dan berkomunikasi dengan kita setiap masa. Kita sepatutnya bukan setakat tahu nama, tetapi kenal sifat-sifatnya. Malah tahu dan kenal apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka.


Dengan melihat, mendengar, merasa, menyentuh dan menghidu kesan atau tanda, kita mampu mengenal sifat yang menghasilkan kesan atau tanda berkenaan. Walaupun tidak pernah melihat elektrik, ahli sains mampu mengenal sifat-sifat elektrik, menyukat serta mengukur elektrik. Kita kenal pengacara radio yang bertugas di siaran radio sama ada lelaki ataupun wanita dengan mendengar suaranya sahaja, tanpa perlu melihat. Kita kenal sifat pereka jet pejuang, iaitu bijak, berani, gigih dan kreatif, walaupun kita tidak pernah bertemu dengannya. Sifat utama pereka jet pejuang adalah tidak sama dengan jet pejuang. Seluruh alam adalah kesan atau tanda yang dihasilkan Tuhan. Menerusi tanda-tanda yang ada, kita dapat mengenal dan merasakan sifat-sifat Tuhan. Hubungan dan pergaulan kita dengan Tuhan begitu akrab. Tidak ada pergaulan yang lebih akrab melainkan hubungan kita dengan Tuhan. Sifat pembuat jam tidak serupa dengan sifat jam. Begitu juga pencipta alam, sifatnya tidak serupa dengan alam. Sifat Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang dinyatakan secara terus berulang kali menerusi ayatnya di dalam Quran. Kita kenal dan merasakan sifat Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.


Kasih sayang Tuhan dapat dilihat, didengar, dirasa, disentuh dan dihidu. Rasa kasih sayang yang ada dalam hati kita adalah kurniaannya. Dia adalah penyedia dan pemilik kasih sayang. Sudah tentu dia bersifat maha pengasih lagi maha penyayang. Namun begitu, sifat kasih sayang Tuhan tidak serupa dengan sifat kasih sayang yang ada pada kita ataupun yang ada pada makhluk lain di alam ini. Begitu juga kita kenal sifat Tuhan yang maha mendengar lagi maha melihat, kerana Tuhan menyediakan pendengaran dan penglihatan kepada semua makhluknya. Sudah tentu dia bersifat maha mendengar lagi maha melihat.


Namun begitu, pendengaran dan penglihatan Tuhan tidak sama dengan pendengaran dan penglihatan makhluk. Tuhan penyedia dan tuan punya ke atas segala keupayaan dan kuasa di alam ini. Sudah tentu penyedia dan tuan punya kuasa bersifat maha berkuasa. Tanda-tanda sifat ini dapat dilihat, didengar, dirasa, disentuh dan dihidu. Namun begitu, kuasanya tidak sama dengan kuasa yang disediakan kepada makhluk.


Tuhan adalah tuan punya ilmu. Segala ilmu yang ditemui dan dikuasai manusia adalah harta kepunyaannya. Bukan sahaja ilmu yang dikuasai oleh ulama Islam, bahkan ilmu yang dikuasai oleh Bill Gates juga adalah harta kepunyaan Tuhan. Tidak ada pembahagian antara ilmu Islam atau ilmu Barat. Tuhan dapat mengambil mana-mana bahagian hartanya tanpa memberitahu atau meminta izin daripada sesiapa. Tanpa melafazkan, Tuhan tahu apa yang ada dalam hati dan akal kita, kerana Tuhan maha mengetahui.


Tuhan yang kita kenal selama ini bersifat maha esa. Bukti keesaan Tuhan dapat dilihat, didengar, dirasa, disentuh dan dihidu. Apabila kita berada di Jepun, kita bernafas dengan menyedut oksigen dan melepaskan karbon dioksida. Begitu juga apabila kita berada di Amerika, di China, di Russia ataupun di mana-mana bahagian bumi, kita semua bernafas dengan menyedut oksigen dan melepaskan karbon dioksida. Apabila masuk ke dalam laut dan naik ke bulan, kita tetap bernafas melalui sistem yang sama. Ini menandakan Tuhan maha esa.


Apabila di Jepun, di Amerika, di China, di Russia, di bulan ataupun di dalam air ada Tuhan, pasti setiap tempat ini mempunyai sistem pernafasan yang berbeza. Apabila kita memiliki kelulusan perubatan dari negara ini ataupun negara lain, kita dapat merawat pesakit di mana-mana negara kerana sistem tubuh badan semua manusia adalah sama.


Apabila setiap bangsa dicipta oleh Tuhan berbeza, sudah tentu sistem tubuh badan setiap manusia berbeza. Sistem seluruh alam disusun dan ditentukan oleh Tuhan. Iaitu Tuhan tuan punya yang maha esa, maha pengasih, maha penyayang, maha mendengar, maha melihat, maha mengetahui dan maha berkuasa.




Credit to Dr. Danial

TIPS TENTANG SEKS

KAEDAH KECEMERLANGAN:
NAFSU DIUMPAMAKAN SEPERTI LAYANG-LAYANG. JIKA TALINYA PUTUS HANCURLAH INSAN


BEBERAPA TIPS (PERINGATAN) TENTANG SEKS

Seks merupakan salah satu alat yang boleh membantu kecemerlangan anda. Justeru kemampuan untuk meletakkannya pada perspektif yang betul adalah penting agar ia menjadi seperti garam secukup rasa dalam hidup anda. Jika anda mengambilnya secara berlebihan atau melampaui batas, anda akan terbabas di dunia dan akhirat. Apa yang saya tulis ini bukanlah sangat tip tentang seks, tetapi lebih kepada peringatan tentang seks. Semoga ia bermanfaat bagi anda..

Mengikut Kamus Dewan, seks ialah,
1- Sifat-sifat yang membezakan laki-laki dan perempuan, jantina;
2- Keinginan syahwat.

Ini bermaksud, seks membicarakan tentang jantina serta sifat-sifat yang membezakan antara lelaki dan perempuan agar kita bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita dan menggunakannya secara yang betul, dan agar kita menghormati mereka yang berlainan jenis dari kita dan tidak menzalimi mereka. Seks juga membicarakan tentang kehendak nafsu syahwat agar kita akhirnya mampu meletakkan nafsu ini di tempat yang terbaik baginya.

1- NAFSU SEPERTI LAYANG-LAYANG.
Pernahkah anda melihat layang-layang yang cantik melayang-melayang dan menari-nari di udara? Ya, ia suatu pemandangan yang mengasyikkan! Tahukah anda mengapa layang-layang itu terus menjadi cantik dan mampu terus melayang-layang di udara dan mampu terus mengasyikkan anda? Ia disebabkan benang yang ada di badannya terus mantap dan tidak putus. Apabila benang itu putus, hilanglah kecantikan layang-layang itu dan akhirnya akan tersadailah ia di tempat yang tidak menentu menanti kehancuran! Demikianlah dengan nafsu termasuk nafsu seks. Apabila benang agama terputus darinya dia akan tersadai di tempat yang hina menanti kehancuran.

2- SEKS ADALAH KEPERLUAN FITRAH.
Manusia perlukan seks kerana ia adalah keperluan atau fitrah manusia. Justeru dalam Islam konsep hidup ala rahib tidak pernah ada kerana agama Islam melayani fitrah manusia. Namun keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: "Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu." (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

3- SEKS ADALAH AMANAH.
Tubuh anda adalah amanah yang dianugerahkan Allah kepada anda. Justeru anggota seks juga adalah amanah. Apa pendapat anda jika seseorang diberikan wang kemudian dia meletakkan dan menggunakan wang itu sesuka hatinya? Sudah pasti anda akan mengatakan beliau seorang yang tidak jujur! Demikianlah juga dengan alat kelamin anda. Ia diberikan Allah kepada anda. Jika anda lakukan sesuka hati anda dengannya tanpa mengikut panduan agama, anda juga boleh dihukum sebagai seorang yang tidak jujur. Justeru, sahabat nabi, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, berkata: "Amanah ialah alat kelamin manusia. Jika manusia mampu menjaga amanah ini Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya!"

4- SEKS BUKAN SEKADAR MEMUASKAN NAFSU.
Seks yang sebenarnya ialah hubungan spirituil dan fizikal yang terjalin di antara sepasang suami isteri yang berkahwin secara halal, dinaungi oleh landasan syariat yang suci, demi untuk mencari keredaan Ilahi.Seks adalah satu hubungan suci antara dua insan, lelaki dan perempuan. Seks yang suci ini amat mendamaikan. Dalam Al-Quran Allah berfirman: "Di antara tanda kebesaran Allah ialah, Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikanNya di antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah Ar-Rum ayat 21) BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik adalah penting untuk menghasilkan seks yang bermanfaat, dan untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati di dalam hidup, iaitu, kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.

5- SEKS YANG HALAL ADALAH IBADAH.
Ibadah mendatangkan pahala, rahmat dan keberkatan. Perkara ini dijelaskan oleh nabi di dalam hadis yang bermaksud: "Sahabat-sahabat Nabi bertanya, Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala? Bersabda Nabi Muhammad: Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperolehi pahala!" (Riwayat Muslim)

6- TIDAK CUKUP SEKADAR MEMAKAI KONDOM.
Barat menghalalkan hubungan seks luar nikah. Yang penting bagi mereka ialah memakai kondom agar kaum hawa terpelihara dari jangkitan AIDS. Dalam Islam zina adalah haram. Zina bermaksud, hubungan seks luar nikah yang dilakukan secara reda antara seorang lelaki dan perempuan. Walaupun ia dilakukan secara reda, ia adalah haram dan mendatangkan dosa. Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad bersabda: "Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat." (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)

7- ZINA ADA PADAHNYA.
Antara padahnya ialah kesan negatif di sudut emosi. Dr. David Weeks, seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh, membuat kajian selama sepuluh tahun untuk mengenal pasti kesan seks ke atas kesihatan manusia. Beliau memberi amaran bahawa perubahan-perubahan positif kesan dari hubungan seks tidak akan berlaku ke atas mereka yang suka bertukar-tukar pasangan, malah kadangkala mereka yang seperti ini mengalami perubahan yang negatif disebabkan kerisauan dan tekanan yang sering melanda mereka hasil dari perbuatan mereka itu. (Rujuk BBC News, Sex Keeps You Young, 10 March 1999) Di sudut agama, padahnya lebih jelas lagi. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad bersabda: "Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperolehi di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperolehi di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka!" (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)

8- SEKS BEBAS MEMBUNUH.
Nabi Muhammad bersabda: "Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa..... Satu di antaranya ialah, apabila zina zahir di dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu." (Riwayat Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Bazzar) Pada hari ini, penyakit-penyakit jangkitan seksual atau STD (sexually transmitted diseases) kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit dari grup ini telah dikenal pasti di antaranya ialah syphlis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, infeksi cytomegalovirus, infeksi chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS. Di Amerika sahaja ia menjangkiti 13 juta manusia setahun dan majoritinya ialah dari kalangan kaum wanita. Kos yang diperlukan untuk merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion. Di antara komplikasi yang timbul kesan dari penyakit-penyakit ini ialah, mengandung di luar rahim atau ectopic pregnancy, barah, kemandulan, sakit jantung, infeksi dan sakit puan. Mengikut Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Amerika, jumlah kes penyakit jangkitan seksual semakin meningkat pada hari ini. Ia disebabkan ramai remaja terlibat dengan hubungan seks tanpa perkahwinan di samping berleluasanya seks bebas di dalam masyarakat. (Rujuk NIAID Fact Sheet, An Introduction to Sexually Transmitted Diseases, July 1999)

9- ZINA BUKAN SEKADAR HUBUNGAN KELAMIN.
Islam mengutuk segala bentuk perzinaan dan segala perkara yang boleh membawa kepadanya dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Allah berfirman di dalam Al-Quran: "Dan janganlah kamu mendekati zina." (Surah Al-Isra ayat 32) Antara alat yang boleh merangsang syahwat manusia dan kemudian membawanya kepada zina ialah mata. Sebagai contoh, melihat gambar-gambar dan menonton filem-filem lucah, adalah satu bentuk zina. Justeru, Allah berfirman: "Katakanlah kepada lelaki yang Mukmin, (kawallah) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka!" (Surah an-Nur ayat 30)

10- BERDUA-DUAAN MEMBAWA RISIKO.
Barat bersikap liberal di dalam aspek pergaulan lelaki dan perempuan dan menganggapnya sebagai satu cara hidup yang sepatutnya dicontohi oleh orang lain. Namun statistik semasa menunjukkan, cara hidup sedemikian lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Sebagai contoh, mengikut Jabatan Keadilan Amerika, bagi setiap dua minit seorang wanita mengalami gangguan seksual, dan pada tahun 1996, 307,000 orang wanita menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di Amerika. Baru-baru ini kajian oleh National Women Study di Amerika menunjukkan lebih kurang 683,000 wanita menjadi mangsa rogol setiap tahun di Amerika. KEBANYAKAN DARIPADA KES-KES INI MELIBATKAN ORANG YANG DIKENALI TERUTAMANYA KETIKA SEDANG BERDUA-DUAAN DAN BERTEMU JANJI. Justeru, larangan bergaul bebas dan berdua-duaan yang ditetapkan oleh Islam amat relevan dengan dunia hari ini. Larangan ini mendatangkan banyak kebaikan terutamanya bagi kaum wanita.

11- BAHAYA SEKS KETIKA HAID.
Islam mengharamkan seks ketika waktu haid. Hukum ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya: "Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya." (Surah Al-Baqarah ayat 222) Mengikut Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.

12- HARAM HOMOSEKS DAN LESBIAN.
Nabi Muhammad bersabda: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu ialah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut." (Riwayat Ibn Majah, Tarmuzi dan Al-Hakim) Kaum Lut dihancurkan Allah disebabkan mereka tenggelam dengan perlakuan homoseks di kota Sodom.

13- ISLAM MENGGALAKKAN PERKAHWINAN.
Berhubung dengan ini Nabi bersabda: "Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka dia bukan dari umatku." (Riwayat Tabrani & Baihaqi) Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda: "Wahai anak-anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (dari gelojak nafsu)." (Riwayat Bukhari)

14- CIRI-CIRI SUAMI ISTERI.
Nabi Muhammad bersabda, berhubung dengan kriteria pemilihan isteri, yang bermaksud: "Pilihlah yang mempunyai kebaikan agama, akan selamatlah kamu." (Riwayat Bukhari-Muslim) Baginda juga tidak melupakan kriteria di dalam pemilihan suami, berdasarkan sabda Baginda: "Jika yang datang meminang anak perempuanmu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka terimalah dan kahwinkanlah dia dengan anakmu." (Riwayat TIrmIzi)

15- WAJIB MANDI SELEPAS HUBUNGAN SEKS.
Kebersihan diri amat dipentingkan oleh Islam. Umat Islam diwajibkan mandi selepas mengadakan hubungan seks antara suami isteri, walaupun tanpa mengeluarkan air mani, seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad: "Apabila kemaluan bertemu dengan kemaluan, wajiblah mandi." (Riwayat Tarmuzi) Di dalam riwayat yang lain Nabi bersabda: "Walaupun jika tidak mengeluarkan air mani." (Riwayat Muslim dan Ahmad) Jika air mani keluar tanpa hubungan seks (sebagai contoh melalui mimpi), mandi tetap diwajibkan.

16- MANDI WAJIB SAINTIFIK.
Mengikut pakar-pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington, untuk mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak, hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai, dan tidak dilakukan secara bebas. Menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan juga adalah penting. Malah pakar-pakar dari Institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan dari serangan penyakit-penyakit. (Rujuk The Institute for Technology in Health Care, Safer Sex: Reduce Your Risk Of Disease, After-Sex Hygiene, Washington, 2001)

Semoga jawapan ini membantu anda.

(Untuk perincian sila dapatkan buku Dr. Danial bin Zainal Abidin bertajuk "Perubatan Islam dan Bukti Sain Moden Edisi Ke-2")
_________________
Dr. Danial Zainal Abidin
(M.B.Ch.B; Universiti Alexandria)
Pengamal Perubatan 20 Tahun,
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Radio Mutiara FM Pulau Pinang,
Penulis 10 buah buku, Kolumnis Majalah i,
Pemudah Cara Pelbagai Korporat

SEKS YANG HALAL DAN HARAM DAN PENEMUAN SAINS TENTANGNYA

Manusia mempunyai nafsu serta kehendak dan Islam datang untuk menyalurkan nafsu dan kehendak itu ke arah kebaikan, melalui perkahwinan. Menerusi perkahwinan, jimak atau seks menjadi halal dan melakukannya berdasarkan batas-batas syariat dianggap sebagai ibadah. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah di dalam hadis yang bermaksud, “Sahabat-sahabat Nabi bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala?’ Bersabda Nabi Muhammad, ‘Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperolehi pahala’.” (Riwayat Muslim)

Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata dalam Tibbun Nabawi, “Tabib-tabib yang mahir berpandangan jimak adalah di antara cara yang terbaik untuk memelihara kesihatan seseorang.”

Dari sudut spirituil, di antara kemanfaatan jimak ialah, ia memelihara penglihatan dari melihat sesuatu yang haram, memelihara nafsu, menjauhkan seseorang dari perbuatan haram dan dengan itu mendatangkan kemanfaatan bagi diri, dunia serta akhiratnya. Kemanfaatan yang sama juga akan diperolehi oleh para isteri. Seks yang mendatangkan kepuasan yang maksimum ialah yang berasaskan kasih sayang dan kemesraan dan tidak hanya wujud di dalam bentuk hubungan fizikal. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Di antara tanda kebesaran Allah ialah, Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikanNya di antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum ayat 21)

BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik adalah penting untuk menghasilkan seks yang bermanfaat, dan untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati di dalam hidup iaitu kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.


Cara Perlakuan Seks Yang Dihalalkan

Islam mengizinkan seseorang melakukan persetubuhan mengikut cara ataupun kedudukan yang digemarinya, namun memuaskan nafsu melalui saluran dubur atau anal sex adalah dilarang. Allah berfirman, “Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu.” (Surah Al-Baqarah ayat 223)

Wahyu ini diturunkan berhubung dengan sahabat Omar Al-Khattab yang menyetubuhi isterinya mengikut saluran biasa tetapi dari belakang, lantas beliau berasa takut dan terus menemui Nabi menceritakan tentang apa yang berlaku. Tidak berapa lama selepas itu, ayat ini pun diturunkan dan Nabi terus berkata kepada Omar, “Bersetubuhlah dari hadapan ataupun dari belakang asalkan tidak dilakukan pada waktu haid dan tidak melalui dubur.” (Riwayat Ahmad) Berhubung dengan persetubuhan melalui dubur, ia dianggap sebagai satu dosa besar. Nabi bersabda, “Allah tidak mahu melihat kepada lelaki yang mendatangi lelaki ataupun wanita di duburnya.” (Riwayat Tarmuzi)


Seks Yang Halal Dan Kesihatan

Kajian menunjukkan ketika syahwat memuncak, badan seseorang mengeluarkan bahan-bahan kimia seperti endorphins yang berfungsi mencegah kesakitan dan mendatangkan ketenangan. Di samping itu sentuhan di antara suami isteri merangsang pengeluaran bahan oxytocin yang menghasilkan rasa tenang dan damai. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Majlis Penyelidikan Sains Manusia seperti yang disebutkan dalam News24.com, bertarikh 12 Februari 2001, sentuhan juga merangsang pengeluaran hormon serotonin yang meningkatkan daya ketahanan badan dan sekali gus mencegah seseorang dari dijangkiti penyakit.

Seks juga berfaedah untuk kesihatan jantung. Dr. Paul Pearsall, Pengarah Perubatan Perlakuan atau Behavioural Medicine di Hospital Beaumont di Detroit, di dalam bukunya Sexual Healing berpendapat, kesihatan jantung tidak hanya bergantung kepada pemakanan, senaman dan genetik, malah ia juga bergantung kepada kesihatan emosi dan sosial. Kajian beliau menunjukkan ketidakpuasan di dalam hubungan seks sering kali mengakibatkan serangan sakit jantung di samping penyakit-penyakit yang lain seperti pening migraine dan radang sendi.


Bahaya Seks Ketika Haid

Islam mengharamkan seks ketika waktu haid. Hukum ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya.” (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Nabi bersabda, “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)

Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum mandi wajib, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.”

Mengikut Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan. Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans pada tahun 1995 melaporkan, menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita. Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda.

Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.

Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat. Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina. Ketika haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya jika berlaku persetubuhan ketika itu


Seks Bebas Dan Penyakit Jangkitan Seksual

Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa..... satu di antaranya ialah, apabila zina zahir di dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu.” (Riwayat Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Bazzar)

Penyakit-penyakit jangkitan seksual atau STD (sexually transmitted diseases) kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit dari kumpulan ini telah dikenal pasti di antaranya ialah syphlis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, infeksi cytomegalovirus, infeksi chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS. Penyakit-penyakit ini boleh menyebabkan maut. Di Amerika sahaja ia menjangkiti 13 juta manusia setahun dan majoritinya ialah dari kalangan kaum wanita. Kos yang diperlukan untuk merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion.

Kesemua ini menunjukkan ajaran Islam sememangnya relevan sampai ke hari Kiamat. Justeru, rugilah mereka yang mengutamakan hawa nafsu serta mengabaikan landasan Islam yang sememangnya saintifik lagi menyihatkan


Note: (Diterbitkan dalam Majalah i bagi bulan Septemberr, 2004, terbitan Karangkraf)

Nukilan,
Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan
Penulis bagi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Kajian Sains Dalam Zikrullah

Satu di antara kekuatan yang Allah kurniakan kepada umat Islam ialah zikrullah. Dalam kitab sohih Muslim, Nabi saw pernah memuji golongan yang dikenali sebagai " Sabaqal mufarradun " yang bermaksud "Telah mendahului mereka yang tersendiri ". Lantas para sahabat ra bertanya kepada baginda. Siapakah sebenarnya golongan Al mufarradun ini?. Maka Nabi menjawab mereka ialah golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah swt. Itulah golongan istimewa yang mendapat pujian. Menyedari kelebihan zikir, golongan sahabat di zaman Nabi khususnya dan di peringkat awal Islam amat mementingkan zikir terutamanya zikir dengan hati.

Kesannya, umat Islam pada zaman itu berjiwa tenang dan sentiasa dikurniakan ilham sehingga mereka mampu menghadapi masalah-masalah yang besar dan kemudiannya dapat menewaskan musuh mereka dan menegakkan empayar Islam.Mereka dapat tahap kecemerlangan yang luar biasa kerana mereka memperolehi kekuatan dari dalam diri dan bukannya dari luar. Mereka tidak mengadu kepada orang lain berhubung dengan kesilapan diri sendiri tidak seperti kita orang Islam pada hari ini. Jika berlaku apa-apa masalah pada umat Islam kita dengan cepat menyalahkan barat, yahudi dan sebagainya tetapi tidak pernah salahkan diri kita sendiri yang cuai, leka, alpa, yang tidur banyak dan seumpamanya.Umat dahulu mereka banyak bermuhasabah dengan diri mereka sendiri.

Justeru mereka banyak berzikir dan berusaha memperbaiki diri sendiri sehinggalah akhirnya Allah memberikan pertolongan dan bantuan kepada mereka.

Jika dilihat dari sudut saintifik, Professor Herbert Benson daripada Harvard Medical School membuat kesimpulan berdasarkan kajian yang dibuat bahawa mereka yang bermeditasi secara mendalam sebenarnya sedang menghilangkan tekanan pada diri mereka. Ini kerana otak menggunakan 17% lebih rendah oksigen daripada biasa sewaktu bermeditasi atau berzikir. Denyutan jantung mereka juga lebih rendah daripada orang lain. Maksudnya, tekanan pada jantung tidak wujud sewaktu kita tenggelam dalam zikir. Ketiganya otak mengeluarkan satu gelombang yang bernama Gelombang Theta ataupun Theta Wave.
Pada kebiasaannya kita mengeluarkan Gelombang Beta jika kita sedang berfikir. Tetapi dalam keadaan berzikir, otak kita mengeluarkan gelombang baru yang bernama Theta yang merupakan gelombang ketenangan. Mengikut pakar-pakar yang mengkaji tentang gelombang ini, di saat gelombang ini dikeluarkan, sistem badan kita turut berubah. Antara kajian yang menarik ialah, kajian yang berkaitan dengan sistem Imiul atau sistem pertahanan badan. Mereka mendapati bahawa golongan yang banyak bermeditasi sebenarnya mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih mantap daripada orang lain terutama orang yang sentiasa sibuk ke sana ke mari.Selain itu, orang yang banyak berzikir dijanjikan Allah dengan ilham yang istimewa sepertimana firman Allah yang bermaksud : " Orang yang bersungguh-sungguh membersihkan dirinya melawan hawa nafsunya, kami yakni Allah akan tunjukkan jalan-jalan kami kepada mereka”. Oeh sebab itulah maka kehidupan orang yang selalu berzikir akan tenang dan dipermudahkan oleh Allah..Lihat sahajalah para Khulafa’ al-Rashidin yang tetap tenang walaupun terpaksa menguruskan empayar Islam yang tidak terhingga luasnya..Bandingkanlah pula dengan kita hari ini yang begitu lemah hingga tidak mampu untuk menguruskan urusan harian walaupun urusan kita tidak seberapa mana besar dan hebatnya..
Demikianlah bezanya golongan yang mendapat ilham dan golongan yang hanya bergantung kepada kemampuan dan keupayaan diri tanpa pergantungan kepada Allah.

Justeru, marilah kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah..Hanya bersamaNya kita kan mendapat ketenangan..Semoga kita mendapat petunjuk..Amin..

ANTARA PUASA, PUAS, TAKWA DAN INTEGRITI

Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 25 September 2006, hari Isnin jam 7.30 pagi di Mutiara FM Pulau Pinang 95.7 Mhz (Hasil Nukilan Ariff Budiman)
Assalamulaikum wbt. Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Khusus bagi muslimin dan muslimat Dr Danial ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Ramadhan Al – Mubarak. Semoga sambutan ramadhan pada kali ini menjadikan kita insan kelas pertama yang akan mendapat hasanah di dunia dan juga hasanah di akhirat insyaallah.
---
Apabila kita berpuasa kita mempunyai tujuan dan matlamat tuan-tuan & puan-puan. Sudah pastinya tujuan & matlamat kita bukan untuk menguruskan badan, mengawal obesiti, menurunkan paras kolesterol dan glukos dalam sistem darah kita. Sebaliknya Allah swt menegaskan dalam surah Al-Baqarah bahawa tujuan dan matlamat kita berpuasa ialah “ Laallakum tattaqun ”. Semoga dengannya kata Allah kamu mencapai status takwa. Itulah tujuan dan matlamat utama kita berpuasa, iaitu untuk mencapai status takwa.
----
Oleh kerana status takwa ini amat penting untuk kita capai, kita perlu sama-sama memahami maksud takwa. Apa dia takwa? Pada pagi ini mari kita mengambil definisi yang telah di utarakan oleh sahabat nabi yang bernama Abdullah bin Mas’ud r.a. Sahabat nabi ini mendefinisikan takwa yang sebenarnya sebagai, "taat tidak maksiat, ingat tidak lupa dan syukur tidak kufur." Dalam erti kata yang lain, andaikata kita menjadi insan yang sentiasa taat kepada Allah dan tidak bermaksiat, dan kita juga merupakan insan yang sentiasa ingat kepada Allah dan tidak melupakannya, dan kita juga merupakan insan yang sentiasa bersyukur kepada Allah dan tidak kufur, maka ketika itu insyaallah kita mencapai status takwa.
---
Jika ketiga-tiga ciri ini menghiasi diri kita maka kita merupakan insan bertakwa. Kita hanya boleh mengetahui samada kita mencapainya ataupun tidak ialah selepas selepas ramadan. Dalam masa tidak sampai sebulan lagi apabila kita menyambut 1 Syawal, ketika itu kita mengetahui samada kita mencapai tujuan dan matlamat berpuasa ini ataupun tidak. Andaikata ketika kita memasuki Syawal sebulan lagi insyaallah kita terus berada di dalam ketaatan dan tidak maksiat insyaallah kita merupakan orang yang bertakwa.
---
Sebaliknya apabila kita menyambut 1 Syawal, hancur kesemua ketaatan yang kita bina di musim ramadan, jelas sekali tidak ada sebarang faedah kita berpuasa dalam bulan ramadan kecuali kita mendapat 2 anugerah sahaja iaitu lapar dan dahaga. Lainnya tidak ada. Tuan-tuan & puan-puan sudah pastinya kita hendak mengejar takwa. Jangan kita sia-siakan bulan yang mulia ini. Mari sama-sama kita jadikan bulan yang mulia ini untuk menjadi mulia. Mari sama-sama kita jadikan bulan yang hebat ini untuk menjadi hebat. Jangan sia-siakannya.
---
Ada orang di musim ramadhan ini dia tidak berpuasa tetapi dia berpuas. Maksudnya dia hendak memuaskan nafsunya sehinggakan perbelanjaan musim ramadannya meningkat. Paras glukos juga meningkat kerana banyak makan dan minum. Badan menjadi semakin gemuk. Jika itu berlaku jelas sekali bukan takwa yang kita capai tetapi kemudaratan dan kepincangan.
---
Akhir sekali saya ingin menyentuh tentang integriti. Malaysia telah melancarkan IIM ( Institut Integriti Malaysia ) baru-baru ini. Bagi saya latihan berpuasa merupakan latihan ke arah integriti. Jika ada orang bertanya kepada kita bagaimana kita hendak melatihkan diri kita agar mempunyai integriti, jawablah kepadanya bahawa Islam mengutarakan puasa sebagai latihan untuk meningkatkan integriti. Integriti bermaksud amanah dan kejujuran. Bayangkan apabila kita berpuasa tidak ada seorang pun yang boleh mengetahui samada kita benar-benar berpuasa ataupun tidak. Kita boleh berbohong dan memperdayakan orang lain dengan mengatakan, “Oh saya berpuasa”, sedangkan sebenarnya kita tidak berpuasa. Tidak ada seorang pun yang boleh memastikan samada perkataan kita itu benar ataupun tidak.
---
Hal ini disebabkan, puasa tidak mempunyai rukun perbuatan. Ia tidak seperti solat. Apabila kita bersolat ada perbuatan khusus yang perlu kita lakukan. Sesiapa yang melihat kita melakukan perbuatan itu dia akan mengatakan (sebagai contoh), “Oh si Ahmad sedang bersolat. Lihat dia sedang ruku' dan sujud”. Demikian juga ketika kita mengeluarkan zakat ada barangan yang hendak kita berikan kepada amil, sebagai contoh. Puasa tidak seperti itu. Ketika berpuasa seseorang perlu meninggalkan perbuatan yang membatalkan puasa bukannya melakukan sesuatu perbuatan. Lantas puasa melatih kita tentang integriti. Andaikata kita betul-betul berpuasa dengan ikhlas dan kita melakukannya kerana Allah kita hebat. Kita boleh berbuka di siang hari tetapi tidak melakukannya. Kita boleh melakukan segala perbuatan yang di larang tetapi kita tidak melakukannya sebab Allah maha mengetahui walaupun orang lain tidak mengetahui. Inilah latihan tentang integriti.
---
Maka dalam Islam sudah ada ramuan-ramuan untuk menjadikan kita insan kelas pertama. Terpulang kepada kita sendiri samada hendak menghayatinya ataupun tidak. Justeru, marilah sama-sama kita menghayatinya dan semoga Ramadan Al-Mubarak ini merupakan titik permulaan kepada usaha kita untuk menjadikan diri, keluarga dan masyarakat kita insan kelas pertama di sisi Allah swt insyaallah.

Rabu, Jun 20, 2007

Citra Umat Kini...



Islam dan umatnya sedang menghadapi serangan yang hebat. Islam akan tetap selamat kerana Allah menjaga Kitab-Nya, walau kita tidak berbuat apa-apa. Apa yang merisaukan adalah, adakah umat ini akan bertahan dengan aqidah dan Islamnya?
--------------------------------------------------------------
Dengan kekuasaan dan pengaruh Barat yang hebat pada sangkaan, umat merasa amat terhimpit. Ada yang sedia melunakkan pengertian jihad untuk menyisih qital. Ada yang redha dengan kategori Barat menjadikan pejuang keadilan, pembebasan dari penjajah atau pendudukan haram sebagai pengganas. Dalam setahun dua ini mujahidin telah menjadi pengganas dan jihad sudah menjadi keganasan. Umat yang dahulu bulat menyokong para mujahidin dan jihad kini telah mulai ragu-ragu. Sedangkan di saat genting inilah mereka memerlukan sokongan kita dan kita perlu mempertahankan iman kita!
-----------------------------------------------------------------------


Kemegahan ilmu dan budaya Barat menjadikan setengah umat merasa kecil. Ada yang mula menjadi apologetik. Barat menyajikan sistem ekonomi kapitalis dan dasar pasaran bebas. Umat merangkulnya dengan erat tanpa segan silu, tumpang melayan gelojoh, tidak mengira riba, harta rakyat atau pun benda haram. Barat menyorongkan demokrasi. Umat menganutinya seolah-olah inilah sistem politik untuk manusia.
----------------------------------------
Barat mendabik dada dengan hak asasi manusia. Islam dianggap kejam kerana ada hudud. Islam dianggap tidak adil kerana wanita tidak sama taraf, orang ingin menukar agama dihalang, kebebasan dihad dan wanita Islam dilarang kahwin campur. Wibawa umat tercabar. Negara orang Islam tidak ada yang ditadbir dengan lebih baik. Pemerintah umat kebanyakannya berseteru dengan rakyat. Kepemimpinan tidak dianggap suatu amanah, malah suatu keistimewaan. Bagaimana orang lain hendak hormat kepada kita? Kita sendiri pun boleh hilang percaya!?
---------
Dengan gejala yang terhimpun ke atas umat, tidak hairanlah jika umat merasa rendah nilai diri dan tidak berani mengangkat muka mereka merenung Barat dengan tajam. Sedangkan tidak ada sebab mengapa kita harus berasa malu. Kalimat Allah itulah yang paling tinggi. Perbuatan yang membawa aib kepada umat adalah lantaran tidak berpegang kepada kalimat Allah.
---------------------------------------
Kita perlu kembali megah dengan Islam. Akan dapat kita rasakan ketepatan syariah Islam dalam mentadbir alam. Kita akan bertambah yakin lagi jika kita juga faham kerapuhan cara hidup Barat yang berasaskan sangkaan semata-mata.
-----------------------------------------
Umat tidak seharusnya bertahan sahaja. Dengan ilmu, iman dan keberanian menggugah kita boleh menghalau Barat sehingga beredar dengan ekor di celah kangkang.